HUJAN lebat berterusan berserta dengan angin kencang dan guruh bersahutan. Namun, kumpulan empat kaki pancing udang galah itu meneruskan misi mereka ke hulu Sungai Lembing, Pahang yang sangat terkenal dengan spesies sepit biru yang sangat lazat isinya.
Mereka berehat di hujung kampung penempatan masyarakat Orang Asli yang belum begitu tersusun. Kelompok etnik itu sudah dapat menerima perubahan kecil sekali gus keluar dari kepompong cara hidup lama. Limat yang mengetuai kumpulan empat pemancing itu adalah anak tempatan Temerloh. Dia sudah biasa dengan sungai di sebelah sini. Melihat keadaan cuaca buruk yang berterusan, Limat membatalkan hasrat ke hulu Sungai Lembing. Tambah pula air sungai sangat deras dan mula melimpah tebing.Sebuah pondok lama yang sudah ditinggalkan mereka gunakan untuk berteduh.
Jika keadaan memaksa, mereka akan terus bermalam. “Jika keadaan bertambah buruk memang kami merancang tidur di situ,” cerita Karim yang turut menyertai kumpulan itu.Dia berkata, malam itu mereka dikejutkan dengan air banjir dari limpahan sungai sudah mencecah lantai pondok berkenaan. Mereka mula cemas apabila mendapati air naik begitu pantas.
Pada masa sama, hujan semakin lebat.“Tetapi kami bernasib baik apabila beberapa buah sampan kayu penduduk Orang Asli datang memberi pertolongan lalu membawa kami ke kawasan selamat di atas sebuah bukit. Di sana pun sudah dipenuhi oleh penduduk Orang Asli yang diselamatkan dari perkampungan penempatan yang sudah ditenggelami air limpahan Sungai Lembing.“Keadaan bertambah buruk dan mencemaskan apabila beberapa ekor ular sawa besar turut mencari mangsa tetapi berjaya dihalau oleh seorang lelaki tua yang dianggap sebagai bomoh di kalangan penduduk di situ,” katanya.
Limat diberi layanan baik walau pun keadaan makin terdesak kerana air terus naik. Namun itu tidak membimbangkan masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan yang sudah biasa dengan keadaan seperti itu.Tetapi bagi Limat dan kawannya menganggap kejadian itu satu pengalaman baru. Menjelang tengah malam itu, mereka dibawa berpindah ke satu lagi kawasan selamat oleh pembantu ketua Orang Asli. Ini kerana menurut ketuanya bahawa mereka perlu diselamatkan sebelum keadaan bertambah buruk. Mereka tiba di kawasan kecil tetapi tempatnya menarik. Mereka dibekalkan dengan sedikit makanan yang sudah dimasak. Beberapa orang yang dibawa khas mula membuat kerja mendirikan pondok serta unggun api di tengah kawasan lapang.
Kumpulan itu kemudian meninggalkan Limat dan kawannya sebaik saja semua keperluan sudah disiapkan.Pertolongan yang diberikan oleh masyarakat Orang Asli itu sangat bererti buat mereka, cerita Karim lagi sambil mendakwa bahawa pada malam itu mereka bagaikan terpukau lalu tidur dengan nyenyak hingga pada saat-saat terjaga dengan satu kejutan yang sangat menakutkan. Mereka terdengar hilai ketawa mengelilingi kawasan itu. Kelihatan lembaga putih berterbangan.
“Kami ketakutan tetapi Limat tidak menunjukkan perubahan dan tetap tenang. Dia duduk bersila kemas sambil membaca sesuatu yang tidak kami dengar dengan jelas. Tetapi nyata dia cuba menghalau makhluk putih yang mengilai dengan lebih garang itu daripada mendekati kami. “Limat cuba diheret keluar dari pondok tetapi kerana duduknya yang kemas serta amalan yang tidak kurang hebatnya lembaga putih itu kemudian meninggalkan kawasan kami untuk beberapa waktu. Tetapi lembaga itu datang semula dengan bilangan yang lebih banyak sambil mengilai dengan bunyi yang lebih mengerikan,” katanya.Dek kerana ketakutan, mereka berpelukan sesama sendiri. Namun Limat cekal membaca ayat al-Quran. Pondok tempat mereka berteduh digoyang dengan kuat dan hampir roboh. “Limat bangun lalu melaungkan azan dengan kuat. Pondok roboh dan kami terbaring di atas tanah perkuburan dengan batu nesan yang bertaburan.
“Kami semakin terkejut tetapi Limat merasa syukur sebaik saja menamatkan laungan azan yang sekali gus melenyapkan gangguan lembaga putih yang mengganggu mereka pada dinihari sebelum subuh itu.Paling menghairankan apabila mereka sebenarnya berada di tengah-tengah kawasan perkuburan Islam di sebuah kampung Melayu di Sungai Lembing dan bukan perkampungan Orang Asli seperti yang berlaku dalam tragedi misteri yang dilalui sepanjang hari dan malam itu.
“Limat tidak banyak bercakap malah terus membawa kami pulang sambil singgah di sebuah surau dalam perjalanan pulang. Kami solat sunat kesyukuran dan doa selamat yang diimamkan sendiri oleh Limat.“Apa yang berlaku adalah satu misteri bagi kami dan tentunya banyak lagi misteri yang dilalui oleh kaki pancing dalam kisah yang berlainan,” kata Karim menamatkan perbualan.
No comments:
Post a Comment